Suasana di wad kecemasan kelihatan tegang. Kelihatannya seperti beberapa orang doktor dan jururawatnya berusaha menyelamatkan nyawa makhluk tuhan itu. Ibunya sedang bersabung nyawa untuk melahirkan anaknya. Baginya, anaknyalah penyambung warisan mereka selepas ini. Mesin mengesan kadar denyutan jantung menunjukkan pelbagai frekuensi yang sukar difahami. Lakaran frekuensi yang turun naik itu sedikit sebanyak mendebarkan hati.
“Cepat, ambilkan saya tuala itu!” kata doktor itu dengan suara yang sedikit bergetar.
Kepala bayi itu di sambut dengan cermat. Dia menarik perlahan-lahan kepala itu bagi mengelakkan sebarang komplikasi yang boleh berlaku ke atas bayi itu . Peluh keringat berembun di dahinya. Jururawat yang berada di sana sempat menahan keringat itu dari terus membasahi wajah doktor itu. Doktor itu berusaha sehabis mungkin untuk menyelamatkan nyawa anak pesakitnya. Segala ilmu perubatan yang dipelajari dan dimilikinya dimuntahkan di situ. Dengan tangan yang sedikit tergetar-getar, dia akhirnya berjaya menyambut kelahiran makhluk ciptaan tuhan yang begitu unik sekali. Lengkap dengan sepasang anak mata yang menghitam disusuli pula dengan sepasang tangan yang sungguh cukup sifatnya. Kelahiran anak pasangan Kogiu dan Kahui itu begitu comel sekali. Kelahiran ini sentiasa dinanti-nantikan sejak kesekian lamanya.
Akan tetapi, kelahiran yang cukup menggembirakan itu hanya bertahan beberapa saat sahaja. Bayi comel itu sebenarnya dilahirkan dengan kekurangan sifatnya. Dia dilahirkan dengan hanya satu kaki sahaja. Cuba bayangkan bagaimana dia mahu meneruskan hidupnya di kala dewasa nanti? Bagaimana pula dengan zaman kanak-kanaknya juga? Dapatkah dia bermain seperti kanak-kanak lain? Perasaan hiba menyelubungi segenap ruang wad kecemasan itu. Mereka semua hanya mampu terkesima melihat keadaan bayi itu. Kesemua fikiran melayang menghitung untung nasib kehidupan bayi itu selepas ini. Doktor yang menyambut kelahirannya cepat-cepat membedung bayi itu. Dipakaikannya topi, sarung tangan, sarung kaki dan kemudiannya dipeluknya erat-erat sekujur tubuh bernyawa itu. Dia menyalurkan haba-haba kasih sayangnya kepada bayi itu persis seperti seorang bayi yang baru lahir. Doktor itu hanya diam membisu. Dia barangkali sudah dapat meramal nasib yang bakal menimpa bayi itu selepas ini.
Selang beberapa hari, perbincangan di antara doktor-doktor telah diputuskan. Bayi Pongo Mygmaeus spesies sumatera itu harus dimatikan. Jika dia hidup sekalipun, dia tidak berupaya untuk hidup seperti spesies-spesiesnya yang lain. Keberterusan hidup bayi Orang Utan itu hanya akan menyambung kesengsaraan hidupnya. Walaupun berat untuk mengambil keputusan ini, namun mereka pasrah. Suara majoriti yang menyokong keputusan ini secara tidak langsung mengaburi suara minoriti doktor yang menyambut kelahiran bayi itu. Dia sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan itu. Baginya, anak Orang Utan itu harus diberikan peluang untuk hidup. Kita tidak tahu tentang untung nasibnya kelak. Kita hanyalah manusia yang tidak bisa meramalkan apa-apa. Baginya juga, walau seberat mana zarah dosa yang dilakukan seseorang itu, mereka layak diberi peluang untuk meneruskan hidup di muka bumi ini. Doktor itu hanya sekadar bermonolog dalaman. Tiada siapa yang menyokong cadangannya. Bayi itu ditatapnya sayu. Dia hanya mengharapkan secebis harapan dapat diberikan kepada bayi Orang Utan itu. Gerimis air mata sudah tidak tertanggung lagi.
Hari yang ditunggu telah tiba. Hari yang penuh suram itu ditatapi dengan sayu. Jari-jemari kecil bayi itu dibiarkan saja memeluk erat kelengkeng doktor itu. Dia seperti merayu-rayu supaya dibenarkan untuk terus hidup. Wajah bayi Orang Utan itu ditatapnya buat kali terakhir. Diusap kepalanya, dicium pipinya persis seperti seorang ibu yang sedang bermanja dengan anak-anaknya. Sambil mengetap bibir, air matanya laju membasahi pipinya. Tiada kata yang mampu diungkapkannya. Dia merelakan pemergiannya. Baginya, setiap yang hidup pasti akan menemui ajalnya. Cuma cara dan keadaan ajalnya saja yang berbeza. Tapi,… jauh di sudut hatinya, dia masih menginginkan supaya bayi itu dapat meneruskan hidupnya.
Dia terus merenung sepasang anak mata yang bundar itu......
“Jangan bunuh dia.....” Desis hati kecilnya....
No comments:
Post a Comment