Tuesday, 31 May 2011

Hidup Ini

          Beberapa hari lepas saya berkesempatan untuk menonton filem Hairspray yang ditayangkan di televisyen. Bagi saya filem ini memiliki suatu tarikan yang amat unik sekali. Jalan ceritanya ringkas tetapi masih mampu menyuntik elemen yang kadang kala mampu membuatkan kita berfikir sejenak. Mungkin sesetengah berpendapat hero kacak dalam cerita ini iaitu Zac Efron merupakan pelaris untuk seseorang menontonnya. Tetapi bagi saya ia hanya sekadar satu bahan penarik sahaja dan jalan ceritanya tidak terjejas sama sekali jikalau hero itu tidak berlakon sekalipun. Jika di nilai dari sudut pandangan yang berbeza, ia bukannlah hanya sebagai suatu filem bercorak muzikal seperti filem High School Musical dan Mamma Mia, namun ia lebih kepada filem yang memperjuangkan ideologi-ideologi perkauman yang berlaku di Amerika pada waktu itu dan bagaimana elemen-elemen ini membatu menyatukan mereka yang berkulit hitam dengan mereka yang berkulit cerah.. Sentimen ini disuntik supaya jalan ceritanya lebih menarik daripada hanya bercerita tentang golongan remaja yang suka berhibur.

          Semasa menonton filem ini, ia sedikit sebanyak memberi impak kepada saya bila mana pada waktu itu dasar apartheid masih lagi di amalkan di Amerika. Mereka yang berkulit hitam dinafikan hak pada waktu itu termasuklah hak untuk berhibur. Apa yang membuatkan saya berfikir pada waktu itu adalah semangat bagaimana mereka ini boleh bangun menentang penindasan ini. Kadang kala hidup ini memerlukan banyak pengorbanan untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada generasi yang akan datang. Malaysia sekali pun tidak terlepas dalam masalah ini. Kita sendiri dapat melihat bagaimana golongan terdahulu memperjuangkan kemerdekaan supaya generasi kita dapat merasai segala kemudahan dan kebebasan seperti sekarang.

          Kita sendiri perlu belajar untuk melepaskan diri kita dari terjebak dengan pelbagai perkara yang buruk. Kita juga harus mencari pelbagai pengalaman hidup supaya ia boleh menjadi sesuatu yang berguna pada masa hadapan. Bukankah pengalaman itu merupakan guru yang terbaik untuk kita? Di sini apa yang ingin ditekankan ialah kita harus berjuang bukan sahaja untuk orang lain tetapi juga untuk diri kita sendiri. Perjuangan bukan hanya semata-mata di medan perang namun ia lebih kepada melepaskan diri kita daripada anasir-anasir negatif. Perjuangan tidak akan terhenti selagi kita semua masih hidup.

      Untuk merasai kehidupan yang lebih selesa, seseorang itu perlulah sanggup menghadapi sebarang rintangan yang mendatang. Hidup memerlukan pengorbanan dan jati diri yang kuat. Hiduplah demi masa depan anda semua. Hiduplah demi generasi akan datang. Hiduplah demi agama dan tuhan anda. InsyaAllah, Anda bakal ketemu matlamat sebenar mengapa anda hidup selain hanya menjadi khalifah di muka bumi ini.

Secalit inspirasi daripada:
Penyanyi: Queen Latifah
Tajuk Lagu: I Know Where I've Been



Sila klik link untuk Lirik lagu


No comments:

Post a Comment